Monday, January 10, 2011

MUKMIN SEJATI MESTI SABAR HADAPI UJIAN

SUATU hari, tiba-tiba Allah سبحانا وتعاﱃ  menentukan turunnya bala ke atas diri dan keluarga kita.  Hati dan perasaan kita mencari dan bertanya, apakah salah dan dosa yang dilakukan? Mengapa begitu susah mententeramkan hati dengan berprasangka baik kepada Allah سبحانا وتعاﱃ ?  Kita berusaha memujuk diri dengan satu kefahaman bala dan ujian itu akan Allah سبحانا وتعاﱃ  balas dengan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang hilang di tangan anda.


ALLAH SENTIASA MEMILIH YANG TERBAIK UNTUK KITA

Allah سبحانا وتعاﱃ  sentiasa memilih yang terbaik untuk diri kita.  Adakah patut kita mendahului Allah سبحانا وتعاﱃ  dalam setiap pilihan-Nya?  Manusia berkata dalam hati: “Alangkah eloknya jika begini dan begini. “ Adakah manusia itu mengetahui seperti mana Allah سبحانا وتعاﱃ  Mengetahui? Yang sehelai daun gugur di serata bumi ini pun tidak akan gugur kecuali dengan pengetahuan-Nya?  Alangkah naif manusia jika ia merasa dirinya lebih tahu apa yang terbaik buat dipilih.



KEPENTINGAN DIRI DAN EGO MEMBUAT KITA PUTUS ASA

Saidina Umar bin al-Khattab, pernah berputus asa ketika kemenangan Islam tidak muncul. Pada hal di sisi beliau ada Rasulullah صلیﷲ علیﻪ و سلم  .  Perasaan putus asa Umar ini jauh lebih bernilai daripada rasa putus asa kita yang kehilangan dunia, anak atau isteri.

Perasaan putus asa Umar adalah mewakili Islam dan kesetiaannya kepada Allah سبحانا وتعاﱃ  dan Rasul-Nya.  Manakala perasaan putus asa kita mewakili kepentingan dan ego dalam diri sendiri.  Umar meratap sedih:
    Wahai Rasulullah bukankah kamu utusan Allah? Bukankah Agama ini benar?” Rasulullah menguatkan semangat sahabatnya:   “Sesungguhnya aku adalah seorang hamba Allah dan sudah tentu Dia tidak akan membinasakan diriku. “(Sirah Nabawiyah oleh Dr Mustafa al-Sibaie)

Kata-kata keramat Baginda ini sudah selayaknya menghiasi hati orang mukmin yang bergantung sepenuhnya kepada Allah سبحانا وتعاﱃ .  Jika kita mahu menelusuri selok-belok kehidupan ini, ujian dan cabaran itu sebenarnya membuat anda  menjadi lebih kebal.  Tidak mudah goyah dan mampu melompat lebih tinggi.


ALLAH MENGUJI SIAPAKAH YANG PALING BAIK IMANNYA

Orang yang memenangi pertarungan itu sebenarnya bukan yang kuat tetapi yang paling mampu menahan sakit.  Lihatlah mereka yang berjaya.  Di atas kesakitan itu mereka membina kekuatan, rela tidak tidur untuk kerja yang perlu diselesaikan.   Mereka yang berjaya begitu disiplin dan menghargai kesakitan yang diderita.  Allah سبحانا وتعاﱃ  menguji siapakah yang paling baik imannya dan paling reda dengan qada dan qadar-Nya.

Dr Yusuf Al-Qaradawi, dalam kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan :
    “Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri daripada pelbagai kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan kegagalan, ditinggalkan kekasih, penyakit menyerang tubuh, kehilangan harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah bermaksud: “Perumpamaan orang beriman yang ditimpa ujian bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilang karat dan tinggal yang baiknya saja.”

Beliau juga meminjam kata-kata seorang ulama:
     Setiap kali aku ditimpa ujian duniawi, terbayang olehku tiga kurniaan Tuhan. Yang pertama, cubaan itu tidak menjejaskan agamaku. Yang kedua, aku tidak ditimpa bahaya yang lebih besar dari itu. Yang ketiga, aku mendapat pahala dari Allah سبحانا وتعا  kerananya.”

Betapa indahnya ungkapan semangat yang mencerminkan kekerasan hati orang beriman. Seperti mana kata-kata Saidina Urwah bin al-Zubair saat menghadapi sakit sehingga anggota badannya diamputasi dan kematian anak lelakinya:
     Ya Allah, di atas kesedihan ini hamba memuji-Mu, Engkau memberiku tujuh orang anak, lalu Engkau mengambilnya satu. Aku tidak menyesal, bukankah Engkau tinggalkan untukku enam orang lagi?  Kaki dan tanganku semuanya empat dan Engkau hanya ambil satu saja daripada mereka.  Bukankah ada tiga lagi yang sepatutnya aku syukuri? Kalau Engkau yang mengambil maka Engkau juga yang memberi. Kalau  Engkau yang menurunkan bala, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan.”

Itulah hikmah sebenar mengapa Allah سبحانا وتعا  menguji, supaya tumbuh jiwa hamba pada diri kita.  Tiada ego melampau dan menganggap akulah yang kuat lalu menzalimi orang lain. Kerana ada Yang Maha Kuasa yang serta merta boleh merenggut ubun-ubunnya dan menghapuskan apa saja yang dimiliki.


Firman Allah سبحانا وتعاﱃ  bermaksud:
    “Katakanlah wahai Muhammad: Mahukah Kami khabar kepadamu orang yang amat merugi perbuatannya? Iaitu orang sesat perbuatannya sewaktu hidup di dunia sedangkan mereka mengira perbuatannya itu adalah kebaikan.” (Surah Al-Kahfi: 103-104)

Manusia merancang, Allah menentukan.  Jika seorang bapa kehilangan anaknya nescaya Allah membalas dengan Baitul Hamdi (sebuah istana khusus di syurga) kerana kesabarannya. Bagaimana pula orang yang cekal di atas bala lebih teruk daripada itu?

Balaslah ujian Allah سبحانا وتعاﱃ  dengan lafaz pujian dan syukur kepada-Nya, kerana ia tanda kasih sayang Allah سبحانا وتعاﱃ  ke atas diri kita.

_________________________
Dipetik Tanpa Suntingan Dari:
http://nurjeehan.hadithuna.com/2007/09/mukmin-sejati-mesti-sabar-hadapi-ujian/


Shared By Bicara Hidayah