Monday, January 10, 2011

IMAN SEBAGAI BENTENG AGAMA

SETIAP
kejadian yang berlaku di dunia ini mestilah dikaitkan dengan konsep wujudnya Allah sebagai Pentadbir segala sesuatu. Peristiwa kelahiran manusia mahupun binatang yang asalnya tiada kepada ada dan pasti menempuhi detik masa dinamakan penamat kehidupan membuktikan pasti ada yang mengaturnya.

Fenomena kejadian alam yang silih berganti antara malam dan siang, penghasilan tanaman dan tumbuhan untuk kegunaan makhluk bernyawa, proses perkembangan taraf kemajuan manusia juga adalah petunjuk adanya Pentadbir alam ini.

Kitab suci al-Quran membongkar segala persoalan yang pasti hanya akan diketahui oleh pengkaji ayat-Nya. Firman Allah yang bermaksud:
    Sesungguhnya pada langit dan bumi ada tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang beriman. Dan pada kejadian diri kamu sendiri serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, ada juga tanda (membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang meyakininya. Dan pada pertukaran malam dan siang, silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan Allah dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin (semuanya itu mengandungi) tanda (membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.” (Surah al-Jaathiyah, ayat 3-5)


NALURI INGIN BERAGAMA

Jiwa manusia beriman sudah ditanam dalam sanubarinya perasaan yakin akan kewujudan Allah dan pastinya perasaan itu adalah fitrah yang dicampakkan ke dalam hati insan yang diberi petunjuk oleh-Nya. Hal itu dijelaskan ulama sebagai naluri ingin beragama.

Firman Allah yang bermaksud:
    (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan, (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya.” (Surah al-Rum, ayat 30)

Naluri manusia untuk memperakui ketuhanan Rabbul Jalil turut dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud:
    Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Tuhanmu melahirkan zuriat Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya), bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi, yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi pengingatan) mengenai (hakikat Tauhid) ini.” (Surah al-A’raaf, ayat 172)



Al-Sunnah sebagai sumber wahyu kedua selepas al-Quran menjelaskan juga konsep kejadian manusia adalah suci dan fitrah. Ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
    Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang akan mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.

Kisah Nabi Ibrahim mencari dan mengenal Tuhannya adalah satu contoh betapa naluri bertuhan itu adalah fitrah. Dalam surah al-An’aam ayat 76-79 merakamkan cetusan hati Nabi Ibrahim mengakui langit, bintang, bulan dan matahari sebagai tuhannya, namun semuanya itu akhirnya sirna, lantas Nabi Ibrahim mengakui bahawa Pencipta alam itu adalah Rabb dan Allah yang selayaknya disembah dan diberi pengabdian.

Pada ayat 79, Baginda pasrah dan berserah:
    Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar Tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain” (Surah al-An’aam: 79)


MEMPERTAHANKAN IMAN

Justeru, apabila orang Islam yang sudah mengecap nikmat iman ini, ia wajib dipertahankan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jatuh bangun peradaban manusia Muslim adalah bergantung sejauh mana kuat hubungannya dengan Allah. Sesuatu yang rugi dan malang apabila naluri dan fitrah ini dipalingkan kepada unsur yang syirik dan tidak mempercayai Allah.

Al-Quran dan al-Sunnah sarat dengan pelbagai contoh teladan golongan manusia yang mempertahankan iman dan akidah daripada dijual beli dengan keuntungan duniawi. Kejayaan mereka ini sewajarnya dijadikan pengajaran betapa keyakinan dan iktiqad dalam hati adalah permata yang tiada bandingan nilainya.

Mereka bukanlah seorang nabi mahupun rasul yang mempunyai kedudukan termulia di sisi Allah SWT, tetapi tahap keimanan golongan ini terlalu tinggi dan tidak dapat ditandingi oleh manusia lainnya di atas muka bumi ini.
Nama-nama seperti Habibun Najjar, Mashitah, Ashabul Kahfi, Ashabul Ukhdud dan sebagainya adalah contoh lambang kekuatan iman sebagai paksi kejayaan mengharungi pancaroba dunia. Kekuatan utama adalah dari dalam hati bukannya kekuatan fizikal semata-mata atau kerana banyaknya harta. Dalam surah al-Kahfi Allah berfirman maksudnya:
    Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk” (Surah al-Kahfi : 13)

Dalam surah Yaasin pula diceritakan pengorbanan Habibun Najjar dalam mempertahankan akidahnya dan kisah ini diceritakan dalam surah berkenaan ayat 13-27.

Maka sudah pasti Muslim yang bergelar Ulul Albab akan mengambil kisah anbiya dan golongan pendukung agama sebagai iktibar. Walaupun zaman silih berganti dan cubaannya pasti berbeza dengan zaman awal Islam, tetapi semangat dan kekentalan iman sangat diperlukan sebagai benteng dalam mempertahankan agama. Selama mana hati kuat bergantung kepada Allah, selama itulah setiap diri pasti akan tetap dalam pemeliharaan Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
    Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Ia bukanlah cerita yang diada-adakan, tetapi mengesahkan apa yang disebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskn tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang mahu beriman” (Surah Yusof : 111)

Dalam surah Hud pula, Allah SWT menjelaskan kepada Nabi Muhammad:
    Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya, dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman” (Surah Hud : 120)


KEJAYAAN TIDAK DIUKUR DENGAN NILAI MATERIAL

Inilah sebenarnya kebaikan yang amat dituntut oleh Islam kepada setiap penganutnya. Kejayaan dalam hidup bukanlah diukur dengan banyaknya harta atau hebatnya pembangunan material tetapi ia berpaksikan kepada nilai iman dan akidah serta diseiringkan dengan amal ibadah lain yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Ini dihuraikan dengan panjang lebar melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 177.
    "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa."


Oleh: Mohd Kamel Mat Salleh

:::: 7 Safar 1432 ::::
[Semua Gambar Adalah Hiasan]

__________________________________
Dipetik Dari:
http://ahmadzaki.wordpress.com/2008/12/19/

Shared By Bicara Hidayah

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan. “[Al-Ahzab: 56]

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

[Al-Bukhariy/ 4519], [Ibnu Majah/ 904, sahih]