“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar." (Yunus, 10: 62-64)
PERKATAAN ‘Taqwa’ [1] telah disebut sebanyak 251 kali di dalam banyak surah di dalam Al-Qur’an. Banyaknya ayat-ayat yang menekankan tentang taqwa ini adalah petanda betapa penting taqwa itu disisi Allah. Firman Allah, maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.“ (Al-Hujurat : 13)
“Maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran : 76)
Di antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki sifat taqwa ini ialah:
MENDAPAT PETUNJUK ALLAH
“Inilah Kitab (al-Quran), yang tiada keraguan di dalamnya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” (Al Baqarah: 2)
- Jaminan
dikurniakan ‘al-furqan’ iaitu petunjuk yang dapat membedakan antara
yang hak dan yang bathil serta terlepas dari perkara-perkara syubahat
atau dengan makna pertolongan. Firman Allah, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengurniakan kepadamu furqan (petunjuk yang dapat membedakan antara yang hak dengan yang bathil atau boleh dimaknakan dengan pertolongan) (Al-Anfal: 29)
MEMEGANG TAMPOK KEPIMPINAN DAN KEKUASAAN DI MUKA BUMI
- Selain
daripada jaminan Allah bahawa mereka akan mendapat petunjuk dan
sentiasa dipimpin, Allah juga telah menjanjikan bagi mereka untuk
memegang tampok kepimpinan dan kekuasaan muka bumi ini. Janji ini amat
jelas berdasarkan firmanNya, maksudnya;
“ Sesungguhnya bumi ini adalah kepunyaan Allah, dipusakakannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya dan kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-A’raf: 128)
“Allah menjadi Pelindung (Eng: protector) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)
TERLEPAS DARI KESUSAHAN
- Mereka
dapat terlepas daripada kesusahan. Bukan ertinya mereka tidak
mendapat susah atau tidak ditimpa ujian tetapi selepas kesusahan dan
ujian, mereka akan terselamat. Walaupun ada pelbagai rintangan dalam
ujian itu, ia sementara waktu sahaja. Selepas itu Allah akan lepaskan
dari ujian dan rintangan itu dengan menghadiahkan pelbagai macam nikmat
pula. Ini jelas dalam firman Allah, maksudnya:
“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar” (At Thalaq: 2)
DIKURNIKAN REZEKI DARI SUMBER YANG DIA TIDAK KETAHUI
- Di
dunia lagi akan diberi rezeki yang tidak tahu dari mana sumber
datangnya. Diberi rezeki yang tidak terduga dan dirancang. Ini jelas
dalam sambungan ayat tadi, maksudnya:
“ .. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya” (At Thalaq: 3)Inilah jaminan daripada Allah SWT bagi mereka yang bertaqwa. Sesiapa yang bertaqwa, rezekinya ada sekadar yang perlu. Makan minumnya yang perlu tetap ada walaupun dia tidak berusaha. Walaupun dia tidak ada kerja, tetap ada jaminan daripada Allah. Ini diakui sendiri oleh Imam Ghazali, mungkin ianya dari pengalaman beliau sendiri. Imam Ghazali pernah berkata: “Kalau sekalipun orang bertaqwa itu tidak ada kerja, keperluan-keperluannya tetap diperolehinya.”
Waktu makan akan diberi makanan. Jika patut dapat pakaian, akan diberi pakaian. Dia sendiri tidak tahu dari mana sumbernya kerana ianya bukan daripada usaha dan cariannya sendiri. Dia dapat rezeki bukan melalui sumber usahanya tetapi melalui sumber usaha orang lain. Kalau taqwanya secara jemaah, maka rezeki itu diberi secara berjemaah. Sekiranya taqwanya secara individu, maka secara individu jugalah pemberian Allah itu.
DIBERI KEBERKATAN DARI LANGIT DAN BUMI
- Dia
diberi berkat daripada langit dan bumi. Berkat pada hartanya, pada
kesihatan badannya, pada ilmunya, pada anak-anak dan zuriatnya, pada
isterinya, pada suaminya, pada sahabat handai dan jiran, pada gurunya,
berkat dakwahnya, berkat ajarannya, berkat pimpinannya dan sebagainya.
Ini jelas sekali dalam ayat, maksudnya:
“Jikalau penduduk sebuah kampung (atau sebuah negara) itu beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat daripada langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
Badannya yang sihat yang dikatakan berkat itu adalah badan yang dapat digunakan untuk kebaikan. Dengan kesihatan badannya itu, digunakannya untuk jihad fisabilillah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat menambahkan pahalanya. Masanya berkat ialah masa yang Allah untukkan padanya, dapat digunakan kepada kebaikan. Dia tidak buang masa percuma dengan perkara yang melalaikan. Umurnya berkat, mungkin umurnya bertambah. Kalaupun umurnya tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepadanya itu akan menambahkan pahala. Rezekinya berkat yakni rezeki yang tidak putus-putus sekalipun tidak kaya, yang dapat digunakan untuk kebaikan dan dapat menambahkan pahala.
Berkat pada anak-anaknya atau zuriat ertinya, anak-anak dan cucu cicit berjaya menjadi anak-anak yang soleh, yang menjadi penyejuk mata hati. Berkat pada isterinya atau suaminya, iaitu isteri tersebut atau suami itu soleh dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan di Akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran, ertinya mendapat sahabat yang baik-baik dan ramai pula yang membantu perjuangannya untuk menegakkan kebenaran. Berkat pada gurunya, iaitu dia mendapat guru yang soleh yang dapat memimpin dan memandunya selamat di dunia dan Akhirat.
AMALAN DITERIMA
- Amal
orang yang bertaqwa diterima oleh Allah. Kalau begitu amal ibadah
orang Islam tidak diterima. Orang Islam akan masuk Neraka dulu. Oleh
yang demikian, hanya amal ibadah orang yang bertaqwa sahaja yang
diterima oleh Allah. Ini dijelaskan oleh Allah, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)
Maksudnya, Allah hanya menerima sembahyang orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima solat orang yang sekadar Islam. Allah akan terima puasa orang bertaqwa. Allah akan terima perjuangan orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima perjuangan orang Islam. Allah akan terima haji orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima haji orang Islam. Begitulah seterusnya berdasarkan ayat di atas tadi.
AMALANNYA DIPERBAIKI
- Amalan
orang yang bertaqwa itu sentiasa dibaiki oleh Allah. Sentiasa
diperkemaskan oleh Allah daripada masa ke semasa. Ini jelas Allah
mengingatkan kepada kita, maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu .... ” (Al Ahzab: 70-71)Jadi orang-orang yang bertaqwa amalannya sentiasa dibaiki oleh Allah. Sembahyangnya sentiasa dibaiki Allah. Begitu juga puasanya, bacaan Qurannya, wiridnya dan perjuangannya sentiasa dibaiki. Apa sahaja bentuk kebaikan yang dibuatnya sentiasa dibaiki oleh Allah dari masa ke semasa. Itulah jaminan Allah.
DOSA DIAMPUNKAN
- Dosanya diampunkan. Dalam ayat tadi juga ada sambungannya, maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. ” (Al Ahzab: 70-71)Firman Allah llagi, yang maksud:
“Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengurniakan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Sesungguhnya Allah mempunyai kurniaan yang agong.” (Al-Anfal : ayat 29)Ertinya dosa-dosa orang-orang yang bertaqwa ini akan diampunkan. Namun begitu orang Islam dosanya tidak diampunkan oleh Allah. Sebab itu orang Islam akan masuk Neraka dulu dan barulah ke Syurga. Wal’iyazubillah. Allahumma ajirna minan nar . Tegasnya, orang yang bertaqwa sahaja akan diampunkan dosanya oleh Allah SWT.
DAPAT ILMU TANPA BELAJAR
“Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang dia tahu, nanti dia akan dipusakakan ilmu yang dia tidak tahu.” (Dikeluarkan oleh Abu Nuaim)Apa sahaja ilmu yang dia tahu, diamalkan. Hasilnya nanti Allah akan beri ilmu tanpa dia belajar. Ramai orang-orang soleh dan ulama yang soleh diberi ilmu laduni. Itulah ilmu yang jatuh kepada hati yang juga dipanggil ilham. Firman Allah Taala maksudnya:
“Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami” (Al Kahfi: 65)Ertinya orang yang bertaqwa itu akan diberi ilmu terus dari Allah tanpa wasilah guru. Agar tidak terkeliru, perlulah diingat bahawa orang yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mesti ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain terlebih dahulu.
TERLEPAS DARI TIPU DAYA SYAITAN
- Orang bertaqwa itu akan terlepas dari tipu daya syaitan. Dalam Al Quran ada disebutkan tentang hal ini. Firman Allah maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan- kesalahan mereka.” (Al A’raf: 201)
TERLEPAS DARI TIPU DAYA MUSUH
- Orang bertaqwa juga lepas daripada tipu daya musuh lahir sama ada orang kafir mahupun orang munafik. Firman Allah, maksudnya:
“Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.” (Ali Imran: 120)
TERHINDAR DARI NERAKA
- Orang
bertaqwa terhindar daripada Neraka. Ertinya tentulah dia masuk Syurga
sebab di Akhirat tidak ada tiga tempat. Kalau terlepas daripada
Neraka, bermakna ke Syurgalah dia. Firman Allah Taala,maksudnya:
"Akan tetapi orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, bagi mereka Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya.” (Ali Imran: 198)
“Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam Syurga dan (di dalamnya mengalir) mata air. (Dikatakan kepada mereka): ‘Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman’.” (Al Hijr: 45-46)
“Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Maryam: 63)
“Sesungguhnya orang-orang bertaqwa berada di dalam naungan (yang teduh) dan (di sekitarnya) terdapat mata-mata air. Dan mendapat buah-buhan yang berbagai jenis mengikut kemahuan mereka, dikatakan kepada mereka ; “Makanlah dan minumlah dengan seenak-enaknya sebagai balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.Sesungguhnya begitulah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Al-Mursalat : ayat 41-44)
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa pasti mendapat kemenangan, dikurnikan kepada mereka kebun-kebun dan buah anggur dan gadis-gadis remaja yang sebaya, dan minuman-minuman yang penuh (beisi minuman) dan di dalamnya mereka tidak mendengar perkataan-perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan-perkataan yang dusta. Kesemua itu adalah sebagai balasan dari Tuhanmu dan sebagai pemberian yang terlalu banyak.” (An-Naba’: ayat 31-36)Firman Allah lagi maksudnya;
“(Ingatlah) hari (ketika) Kami menghimpunkan orang-orang yang bertaqwa dalam satu kumpulan menuju Tuhan mereka Yang Maha Pemurah sebagai satu penghormatan.” (Maryam: 85)Inilah di antara keuntungan-keuntungan atau kelebihan yang diperolehi oleh orang yang bertaqwa. Kesemua itu tidak dapat dinilai dengan mata wang dunia kerana terlalu tinggi nilainya.
“Dan (pada hari kiamat) syurga akan didekatkan kepada orang-orang yang bertaqwa.” (As-Syu’ara’: ayat 90)
Ia didapatkan hasil daripada membersihkan hati, mujahadah bersungguh-sungguh membuang sifat-sifat mazmumah dan menyuburkan sifat mahmudah serta mengamalkan syariat yang lahir dan batin.
Kalau di dunia ini kita berebut-rebut untuk dapatkan dunia yang tidak ada nilai di sisi Allah itu, mengapa kita tidak rebut mencapai taqwa yang manfaatnya untuk dunia dan Akhirat?
"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan salat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." (Al-Baqarah, 2:177)
:::: 20 Jamadil Akhir 1431 ::::
[ Semua Gambar adalah Hiasan ]
Dipetik dan Disunting dari:
CATATAN PERASA SEBUAH KEHIDUPAN
JANJI ALLAH UNTUK ORANG YANG BERTAKWA
http://wanieabdwahab.blogspot.com/2009/03/janji-allah-untuk-orang-yang-bertaqwa.html
Shared By Bicara Hidayah
_______________________________________
NOTA 1 - APA ITU TAQWA?
"Pernah kamu susuri jalan yang penuh duri?" balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.
"Pernah saja," jawab Umar.
"Apa yang kamu lakukan?" pintas Ubai.
"Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati," jawab Umar lagi.
"Itulah taqwa!" simpul Ubai bin Ka'ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang taqwa.
Halus perbincangan taqwa ianya seolah-olah satu jisim yang menyerupai bakteria ikhlas. Diibaratkan sebagai seekor semut hitam di lorong yang gelap, tiada siapa yang menyedari kehadirannya melainkan Allah, kerana itu ikhlas dijadikan rahsia simpanan kepada asas pertimbangan neraca mizan kelak.
Firman Allah, maksudnya;
- "Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di
antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)" (Surah Al-Hujurat ayat 13)
Definisi taqwa bermula dari kalimah waqa- yaqi- wiqoyah yang membawa maksud memelihara, melindungi, takut dan berjaga - jaga. Sesuai dengan pemahaman mendalam terhadap definisi tersebut bahawa taqwa berperanan sebagai penjaga diri dan pelindung tetapi bukan penakut kepada diri seorang muslim.
Sebaliknya di dorong rasa 'takut' kepada Allah dengan sentiasa berusaha untuk mentaati segala suruhan dan menjauhi larangan-Nya malah yang paling utama berkorban untuk menjunjung syariat yang diturunkan dan bukan bersifat mempersendakannya atau mengabaikannya atau meringankan sesuatu hukum biarpun sudah mengetahui mengenainya secara teliti dan jelas.
Di situlah taqwa berfungsi iaitu dalam merasakan kemanisan iman dan tidak berasa susah untuk menurutinya walaupun jika menurut pandangan akal manusia ia adalah perbuatan yang sukar seperti bertudung, solat dan puasa serta lainnya.
Seruan taqwa setiap minggu dilaungkan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat malah ia adalah rukun khutbah. Saya yakin setiap muslim menyedari kedudukan 'rukun' dalam pelaksanaan ibadah. Oleh yang demikian, secara tidak langsung membuktikan bahawa peringatan taqwa adalah amat penting untuk sekalian muslim supaya diterapkan dalam kehidupan dan bukan hanya disimpan dalam telinga setiap minggu namun kefahaman mengenainya terus dipekakkan.
Allah telah berfirman dalam surah ali-Imran ayat 102 yang bermaksud ;
- "Wahai
orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam
keadaan Islam."
Bagaimana?
Jawapan mudah yang boleh diringkaskan iaitu berilmu, beramal soleh dan beriman. Renung- renungkan perkara ini di mana tahapnya pada diri kita. Melalui perkara ini seorang muslim mungkin dapat melihat penilaian koreksi taqwanya samada pada tahap;
- Taqwa (orang) awam - masih terpengaruh dgn nafsu amarah walaupun mujahadah masih ada.
- Taqwa khawas - terdedah kepada nafsu lawwamah, menerima virus maksiat batin dan menyemai mazmumah walaupun ia mengetahui ketuanan sifat- sifat tersebut menyumbang kepada kerugian amal dan kerapuhan titian menuju redha-Nya.
- Taqwa khawasul khawas - nafsu mutmainnah iaitu jiwa yang tenang daripada maksiat zahir dan batin
Setiap tahap ini meletakkan batu perbezaan pada satu sempadan iaitu nafsu, semakin tinggi dan kukuh sempadan nafsu semakin rendah kedudukan taqwanya kerana sempadan nafsu telah menutupi penglihatan iman untuk melihat simpang taqwa dan membiarkan ilmu tergadai di 'kedai kejahilan' sekaligus menurunkan 'had kelajuan' amal soleh untuk ke simpang itu.
Sememangnya sukar untuk membawa diri ke simpang itu namun sedarilah bahawa kesusahan itu hanya sebentar iaitu tatkala nyawa dikandung badan, tapi apabila nyawa meninggalkan jasad segala kesusahan itu juga yang menjadi kebahagiaan yang abadi.
Jika kita takut atau terlalu memanjakan perasaan dan jiwa duniawi pada usia yang berbaki ini, cepatlah ingatkan semula atau muhasabah kembali bahawa tiada hidup kedua atau nyawa kedua setelah ia berakhir.
Awalnya mungkin terasa berat namun apabila ia dihidayahkan Allah akan kemanisan iman, saat itu senyuman taqwa dan tawa iman akan terus menemani hari- harimu.
Sesungguhnya janji Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud ;
- "Kalau
kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian)
menyakitkan hati mereka dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira
dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka
tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi
pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan." (Surah ali-Imran ayat 120)
Disunting dari:
http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1063-simpang-taqwa.html
Shared By Bicara Hidayah