Monday, April 11, 2011

CINTA PADA الله DAN RASUL MESTI DIBUKTIKAN DENGAN PENGORBANAN

DALAM usaha ke arah taqwa, orang Mukmin digalakkan berkorban pada jalan الله atau disebut Infak fisabilillah. Maksud Infak fisabilillah atau berkorban pada jalan الله mengikut pengertian syariat ialah berbelanja apa yang ada ke jalan yang diredhai oleh الله atau berkorban berhabis-habisan apa yang ada, sama ada harta, wang, tenaga, masa, fikiran hatta nyawa sekalipun semata-mata untuk الله.

Berkorban atau berbelanja pada jalan الله ertinya terpaksa kurangkan harta atau susutkan harta, kurang wang, kurang masa untuk dirinya berehat atau langsung tidak rehat, kurang dapat kasih sayang atau langsung tidak dapat kasih sayang dan bermanja dengan isteri-isteri, suami, anak-anak dan keluarga.

Rumah yang besar jadi kecil atau langsung tidak ada rumah. Yang bisa dapat kasih sayang, sudah tidak dapat lagi. Terpaksa tinggalkan anak-anak, isteri-isteri, suami, ibu ayah, saudara-mara, sahabat-handai, kampung halaman, harta, rumah tangga, tinggal jawatan, kedudukan, ijazah, menara gading dan tinggal segala -galanya kerana diuntukkan segala-galanya tadi buat mencari keredhaan الله.


Untuk perbuatan dan sikapnya itu, mereka sanggup menerima apa jua risikonya seperti sanggup menjadi miskin, dihina, difitnah, dikata, dicaci, dimaki, dikecam, ditohmah (difitnah), diseksa. Hatta sanggup dibunuh sekalipun, demi semata-mata hendak menunaikan kehendak CINTA AGUNGnya, iaitu الله. Begitulah pengorbanan seseorang itu bilamana الله sudah dijadikan CINTA AGUNGnya. Kerana CINTA itu memanglah buta walau kepada apa dan siapa sekalipun, sama ada kepada isteri, kepada suami, kekasih, tunang atau kepada الله.


Pada saya, orang yang boleh berkorban atau berbelanja berhabis-habisan untuk الله itu ialah orang yang sangat CINTA dan mabuk (BiHi: mabuk CINTA) dengan الله. Yakni meletakkan الله itu sebagai CINTA AGUNG-nya mengatasi segala CINTA yang lain. Tidak salah rasanya kalau disebutkan mereka ini orang yang gilakan (BiHi: amat CINTA)  الله. Hingga kerana-NYA, manusia sanggup susah dan mati. Bahkan kesusahan itu tidak dirasakan susah lagi.
Sebaliknya susah itu dirasakan satu kebahagiaan dan kegembiraan bila dapat ditunaikan. Ianya sebagai hadiah atau pemberian untuk CINTA AGUNG-nya. Itulah kepuasan walaupun dia sendiri susah untuk mendapatkannya. Biasanya seorang kekasih rela berkorban apa saja untuk kekasihnya demi merealisasikan bukti CINTA-nya. Biar apa pun kata nista orang, langsung tidak dipedulikannya. Buktinya, lihatlah pada seorang lelaki yang mencintai seorang perempuan. Kelihatannya macam orang yang hilang pertimbangan. Kerana segala fikirannya, masa, tenaga, harta, wang dan sebagainya, dikorbankan berhabis-habisan untuk cintanya. Hingga melupakan kepentingan diri sendiri. Kalau ada orang yang mengatakan perbuatannya itu bodoh atau sudah gila, dia tidak ambil pusing (peduli), macam tidak didengarnya. Dia tidak terasa sakit hati dengan cemuhan-cemuhan, kritikan dan kata nista itu.

Padanya, bila dia dapat berkorban atau berbelanja dengan memberi hadiah atau memberi sesuatu pemberian pada kekasihnya itu, ia satu nikmat, bukan menyusahkannya. Bahkan terasa indah dan bahagia serta seronok pula. Walaupun lahiriahnya kita nampak fizikalnya susah payah bekerja untuk itu, berhempas pulas mengumpulkan wang  untuk menyediakan hadiah-hadiah itu.


Pengorbanannya makin hari makin banyak untuk membuktikan kecintaan pada kekasihnya itu. Waktu itu walaupun susah payah berhempas pulas, namun hatinya rasa tenang dan puas. Pengorbanan yang diberi secara berhabis-habisan itulah bukti rangsangan CINTA yang telah memuncak di dalam hati. Bandingannya macam orang yang sedang bertunang yang hanya tunggu diijabkabulkan. Inilah masanya dia berkorban habis-habisan. Habislah seluruh tenaga, fizikal, masa, wang dan harta dikerahkan untuk memikirkan bagaimana hendak memuaskan hati buah hatinya itu.


Tentu dia akan lipat-gandakan usaha-usaha lebih daripada biasa, bagi menawan buah hatinya semaksima mungkin. Tentu dia bekerja keras untuk cari wang belanja, bermati-matian untuk buat rumah dan membeli segala kelengkapan isi rumah sebagai persediaan menunggu hari perkahwinan atau hari pertemuan pertama itu. Pendek kata, buat kerja apa pun, semuanya untuk memikirkan CINTA-nya. Itu sahaja. Di waktu itu wang payah (amat berat) hendak diberikan kepada orang lain.
Itu baru gambaran CINTA seseorang terhadap sesama makhluk yang tidak ada apa-apa jasa padanya. Sekadar terpikat pada rupa paras dan kecantikannya. Itu pun dia sanggup berkorban bermati-matian untuk membalas CINTA kekasihnya. Demi menyenangkan hati orang yang DICINTAI-nya. Apatah lagi seorang mukmin yang benar-benar bertaqwa kepada الله. Tentulah pengorbanannya lebih berganda-ganda lagi dalam semua hal untuk الله. Pengorbanan itulah bukti rasa CINTA pada الله itu. Yang lain-lainnya sudah jadi kecil. Dia rela susah dan menderita bahkan sanggup berkorban apa saja demi الله CINTA AGUNG-nya itu.

Di waktu itu dia sudah benar-benar tajalli  [1] dengan الله سبحانا وتعاﱃ. Oleh itu dia dapat menyempurnakan urusannya dengan CINTA AGUNG-nya. Dengan membawa rasa CINTA di hati yang memuncak inilah seseorang itu dapat berkorban untuk yang DICINTAI-nya. Kalau cintanya meminta apa saja sekalipun hak miliknya, akan sanggup dikorbankan. Inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulullah صلی الله علیﻪ و سلم. Kerana CINTA-nya kepada الله, الله pun mengaku dialah kekasih-NYA yang digelar Habibullah. Yang mana segala tenaga, masa, kekayaan sepenuhnya dikorbankan untuk الله.

Begitulah juga berlaku pada para Sahabat baginda yang lain seperti Sayidina Abu Bakar رضي الله عنه , Sayidina Umar Al Khattab رضي الله عنه , Sayidina Usman رضي الله عنه dan ramai lagi. Sebahagian besar masa, tenaga, harta dan hidupnya dikorbankan untuk الله. Kalaupun ada untuk kepentingan diri dan keluarga, ianya terlalu sedikit. Sebab itulah Islam cepat berkembang dan cepat menguasai dunia.

Sifat atau watak mereka ini yang paling ketara ialah keghairahannya pada perjuangan Islam dan berkorban untuk-NYA. Yakni menegakkan kalimah الله pada diri, keluarga, masyarakat dan seluruh sistem hidup. Segala masa, tenaga, fikiran, harta dan keupayaannya dikerahkan pada kerja-kerja menegakkan sistem hidup Islam.

Untuk itu dia sudah jual segala yang ada padanya ke jalan الله kerana hendak membuktikan CINTA-nya kepada الله. Kalau begitu bolehlah kita katakan, orang yang berkorban pada jalan الله kerana orang itu telah mencintai الله. Ertinya, pengorbanan dan CINTA, dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kalau ada CINTA, ada pengorbanan dan kalau ada pengorbanan, ertinya kerana adanya CINTA.


الله سبحانا وتعاﱃ yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang pada hamba-hamba-NYA memang sudah sedia mencintai hamba-hamba-NYA. Cuma CINTA-NYA itu tidak berbalas. Firman الله dalam Hadis Qudsi yang bermaksud: Aku kasihkan hamba-Ku lebih daripada kasih seorang ibu kepada anaknya.

Bila seseorang itu mula berkorban, ertinya CINTA الله itu baru mula berbalas. Lagi banyak pengorbanan yang dapat dibuat lagi bertambahlah CINTA الله kepada-nya.

Firman الله سبحانا وتعاﱃ dalam Hadis Qudsi melalui Rasulullah صلی الله علیﻪ و سلم:
    Apabila seorang hamba mendekatkan diri kepada-KU sejengkal maka AKU mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepada-KU sehasta maka AKU mendekatkan diri-KU kepadanya sedepa (sehesta). Kalau hamba-KU datang kepada-KU dengan berjalan, maka AKU datang kepadanya dengan berlari.” (Riwayat Bukhari dari Anas)
Ertinya, CINTA الله bertambah dari masa ke masa padanya mengikut pengorbanan yang dibuatnya. Alangkah kasih dan sayangnya الله kerana cintanya itu sudah berbalas melalui pengorbanan hamba-hamba-NYA tadi. Sehingga الله berjanji dengan pengorbanan itu seperti yang disebut dalam Al Quran (artinya):
    Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta mereka pada jalan الله laksana satu biji yang membuahkan tujuh tangkai. Setiap tangkai mempunyai 100 biji. الله menggandakan (ganjaran) kepada siapa yang dikehendaki-NYA.” (Al Baqarah: 261)
Maksudnya, الله memberitahu setiap pengorbanan yang dilakukan oleh hamba-NYA itu, الله bayar dengan 700 kali ganda. Bahkan sampai peringkat berlipat kali ganda lagi daripada ukuran tadi kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.

Firman-NYA lagi (artinya):
    Sesungguhnya الله telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berkorban untuk jalan الله, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari الله di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya daripada الله? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.” (At Taubah: 111)

Dalam firman-NYA yang lain, الله menyeru:
    Wahai mereka-mereka yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat melepaskan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu hendaklah kamu beriman dengan الله dan Rasul-NYA. Dan berjuang pada jalan الله dengan harta dan jiwa raga kamu. Itulah yang paling baik jika kamu orang yang mengetahui.” (As Saf: 10-11)

Dalam firman-NYA yang lain, الله memberitahu (artinya):
    Tidaklah sama antara mukmin yang tidak berjihad yang tidak ada mempunyai keuzuran dengan orang yang berjihad di jalan الله dengan harta dan jiwa mereka. الله melebihkan orang yang berjihad dengan harta dan jiwa mereka atas orang yang duduk (tidak berjihad) satu darjat. Kepada masing-masing الله menjanjikan pahala yang baik (Syurga) dan الله melebihkan orang yang berjihad atas orang yang duduk (tidak berjihad) dengan pahala yang besar.” (An Nisaa’: 95)


Perkuburan Baqi', Madinah
Maka dengan pengorbanan itu lahirlah tamadun Islam seperti zaman Rasulullah صلی الله علیﻪ و سلم, Khulafa-ur-Rasyidin dan salaf-us-soleh. Mereka telah pun korbankan segala-galanya untuk membuktikan CINTA AGUNG mereka. Rasulullah صلی الله علیﻪ و سلم berkorban selaju angin kencang. Sayidina Abu Bakar رضي الله عنه  habiskan semua hartanya sehingga yang tinggal hanya الله dan Rasul sahaja. Sayidina Umar Al Khattab رضي الله عنه  tiga perempat hartanya habis dikorbankan. Sayidina Usman Affan رضي الله عنه pula korbankan separuh daripada hartanya dan begitulah para Sahabat yang lainnya. Walaupun miskin tapi tetap juga berkorban. Jika tidak ada pengorbanan, ertinya CINTA itu adalah PALSU. CINTA ITU MESTI DIBUKTIKAN DENGAN PENGORBANAN.
Di sini dapat difahami bahawa kesan daripada CINTA الله dan Rasulullah serta CINTAKAN hari Akhirat, jadi pendorong kepada seseorang itu sanggup berkorban hingga dapat membangunkan kemajuan dan tamadun Islam. Kalau CINTA kepada الله dan Rasul tidak mendalam atau langsung tidak ada, maka seseorang itu tidak akan sanggup berkorban berhabis-habisan. Mungkin tangannya menghulurkan wang untuk jihad tetapi hatinya tidak ikhlas. Ada kepentingan atau “ada udang di sebalik batu”. Mungkin kerana ingin mendapat undi, ingin dipuji, ingin dibalas jasanya dan sebagainya. Maka lahirlah tamadun yang tidak bercorak Islam.

Bila seseorang itu CINTA-nya kepada الله dan Rasul tidak mendalam, maka dia tidak akan sanggup berkorban berhabis-habisan. Pengorbanan itu tidak wujud darinya. Kesannya, umat Islam tidak akan maju dan tidak dapat melahirkan tamadun Islam. Juga tidak akan hidup bertolong bantu. Tenaga, fikiran, masa, wang dan harta dihabiskan untuk membangunkan sistem riba, hotel-hotel untuk kemungkaran, disko untuk puaskan nafsu, kilang atau ‘factory’ untuk ada peluang melabur atau untuk mendapat saham kosong, membangunkan sekolah atau universiti untuk dapat ilmu yang banyak tetapi niat untuk pangkat dan jawatan, bukan untuk الله dan Rasul-NYA.

Pembangunan atau tamadun begini, walau macam mana pesat sekalipun ia adalah kerana CINTA nafsu dan diri sendiri. Ini akan menjadikan manusia itu rosak seperti sombong, gila dunia, rakus, mementingkan diri dan sebagainya. Inilah yang banyak berlaku di dunia hari ini. Kemajuan dan tamadun yang begitu tinggi, tidak dapat menyelamatkan insaniah manusia. Kemajuan yang tidak memberi ketenangan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan. Oleh itu pengorbanan yang dicurahkan itu tidak dianggap pengorbanan. Ia diibaratkan barang buruk yang dihadiahkan kepada kita. Begitulah pengorbanan yang الله minta tetapi kita balas dengan kejahatan.

Jadi orang yang tidak berkorban itu sebenarnya orang yang menjadikan atau menggunakan harta dan dirinya untuk kepentingan dirinya semata-mata. Firman الله (artinya):
    Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan الله, maka berikan khabar untuk mereka dengan azab yang maha pedih. Pada hari dipanaskan emas perak itu dalam Neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka, ‘Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu’.” (At Taubah: 34-35)


::: Isnain, 16 Rabiul Akhir 1432 | Ahad, 20 Mac 2011 ::::
[ Semua Gambar Adalah Hiasan ]

_________________________________
Disunting Dari:
http://www.usahataqwa.com/rohaniah/berkorban
(Jodol Asal: CINTA ALLAH DAN RASUL DIBUKTIKAN DENGAN BERKORBAN)

Shared By Bicara Hidayah

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan. “ [Al-Ahzab: 56]

________________
[1]  Tajalli bermaksud memperolehi kenyataan Tuhan. Sebenarnya Tajalli ini telah banyak disentuh dalam penjealasan penulis mengenai dzauk, syuhud, fana dan Musyahadah dahulu. Cuma mungkin tidak diistilahkan dengan tepat maka ia mungkin tidak disedari disitulah juga terdapat penjelasan mengenai Tajalli ini.

Al-Quran telah menunjukkan kesah bagaimana Tajalli berlaku kepada Nabi Musa Alaihissalam. Firman الله Taala bermaksud “Tatkala Tajalli Tuhan pada gunung, ia menjadikan gunung itu hancur dan Musa jatuh pingsan”. (al-A’Raf, 7:143) (http://shahil.wordpress.com/2010/01/01/tajalli/)