SETIAP
kita berhak untuk meraih kejayaan dan kebahagiaan. Asalkan kita
memiliki harapan dan kemahuan serta mampu menterjemahkan harapan dan
kemahuan ini dalam bentuk sikap dan tindakan maka yang akan menghalang
kita hanyalah keputus-asaan.
Saya telah meyaksikan berbagai ragam
manusia dalam menempuh kehidupan. Ada yang gagal dan ada yang berjaya.
Namun jika diteliti kehidupan mereka kita hanya akan melihat satu
perbezaan besar iaitu SIKAP. Sikap kita terhadap Allah, terhadap diri,
orang lain dan kehidupan itu sendiri.
Saya tidak pernah percaya
apatah lagi meyakini, seseorang itu berjaya kerana kegeniusannya atau
kerana keturunannya. Kejayaan sebenar bermula dengan perubahan sikap;
iaitu apabila kita mula memandang jauh kehadapan dengan penuh harapan
serta menginginkan ketinggian dan kemuliaan, renungan itu kemudiannya
dipantulkan kepada hakikat diri kita sekarang lalu kita mula meneliti
sikap-sikap yang perlu kita bangunkan untuk meraih segala harapan yang
kita bangunkan tadi disamping kita cuba menanggalkan segala sikap yang
akan menghalangi perjalanan kita.
Di sinilah bermulanya
perjalanan menuju destinasi yang tinggi dan mulia; apabila kita sedar
bahawa kita perlu berubah dan sentiasa meningkatkan diri. Inilah langkah
pertama bagi menacapai apa saja bentuk kejayaan yang diimpikan. Langkah
pertama ini akan mencetuskan langkah kedua dan seterusnya. Dan
disinilah letaknya keajaiban dalam perjalanan hidup kita; hanya kita
yang memulakan perjalanan ini. Asalkan kita memilih untuk mulakannya
sekarang maka perjalanan ini akan bermula dan sekiranya kita ingin
berhenti maka perjalanan kita juga akan terhenti.
Saya
menyaksikan berbagai karenah manusia dalam hal ini. Ada yang
memulakannya ketika diawal kehidupan, ada yang memulakannya setelah
masuk kealam kehidupan yang sebenarnya bahkan ada yang memulakan langkah
pertama setelah beberapa kali terjatuh hingga jiwanya tidak lagi
sanggup menerima kegagalan. Namun ada yang begitu malang dan ingin
memulakannya ketika nyawa sudah sampai kekerongkongan.
Mungkin
ada baiknya kita tanya namun yang pasti insan yang akan mampu
memulakannya ialah insan yang ingin memulakannya saat ini iaitu sekarang
... ketika persoalan ini terdetik dihatinya.
Bagi yang ingin
memulakannya pada awal ramadhan nanti, ketika syawal atau awal tahun
depan ... percayalah anda sedang menipu diri anda sendiri. Percayalah
dan yakinlah juga bahawa ini bukan kali pertama anda menipu diri anda
sendiri. Dulu mungkin anda pernah berjanji akan berubah apabila umur 15
tahun, apabila masuk tahun baru, apabila, apabila dan apabila tetapi
anda masih dititik yang sama. Hidup anda tidak ubah seperti lembu yang
diikat pada satu tiang dan anda cuba berlari mengelilinginya dan jarak
yang paling jauh yang akan anda sampai ialah ditepi tiang yang sama.
Bebaskan diri anda sekarang dan mulakan perjalanan anda SAAT INI bukan sebentar lagi atau esok hari.
Abu Umar
KEHIDUPAN & KEIMANAN